Rakyat Cameron Berhimpun Menentang Jalan Sehala.



4 Jun 2008

Pada 21 Mei 2008, lebih kurang 120 orang rakyat telah berkumpul di hadapan Pejabat JKR Cameron. Mereka ingin mengambil bahagian di dalam mesyuarat yang akan dianjurkan oleh JKR untuk membincangkan penukaran jalan dua-hala kepada sehala di Brinchang. Rakyat yang berkumpul terdiri daripada semua lapisan masyarakat. Saya bersama komrad Simon dan Kumarasalvam telah menghadiri perhimpunan ini.

Pada pukul 10.15 pagi, pegawai JKR, En.Retnasingam, telah memberitahu kami hanya 2 orang wakil sahaja akan dibenarkan masuk. Tetapi kami sudah membuat keputusan malam sebelumnya bahawa 20 wakil daripada penduduk harus dibenarkan masuk. Selepas perbincangan dengan En.Retnasingam, beliau telah memanggil Jurutera Daerah JKR, En.Hanafi untuk berunding dengan kami.

En.Hanafi telah memberikan sebab bahawa bilik mesyuarat tidak boleh menampung 20 orang. Penduduk telah meminta mesyuarat ditukar ke tempat yang lebih besar. En.Hanafi tidak bersetuju dengan cadangan kami dan hanya mahukan 2 orang mengambil bahagian. Tetapi rakyat yang berkumpul bersatu dan tidak mahu berganjak dari angka 20.

Seterusnya En.Hanafi telah mencadangkan satu sesi dialog bersama rakyat supaya ramai dapat hadir. Kami bersetuju tetapi kami telah meminta dua perkara iaitu: 1.) semua pegawai kerajaan yang hadir pada hari itu juga mesti turut hadir pada sesi dialog 2.) tarikh sesi dialog mesti ditentukan pada masa itu juga. Seperti yang disangka, En.Hanafi tidak bersetuju dengan tetapan kami. En.Hanafi juga telah menuduh bahawa saya membuat spekulasi tersendiri tetang perubahan jalan sehala. Beliau telah masuk semula ke dalam tanpa memberikan kata putus.

Kemudian, tiba pula KPD Cameron, DSP Yahaya, yang turut memberikan alasan yang sama. Tetapi selepas berunding untuk seketika, beliau bersetuju untuk membenarkan 5 orang wakil. Tetapi rakyat yang berkumpul di luar tetap meminta 20 wakil dibenarkan masuk kerana keputusan itu telah diambil sebulat suara pada mesyuarat sehari sebelum.

Setelah berunding seketika, DSP Yahaya masuk ke dalam pejabat JKR dan keluar semula bertanyakan surat jemputan rasmi menghadiri mesyuarat tersebut. Penduduk yang mempunyai surat tersebut terus menghulurkannya. Tetapi yang melucukan ialah apabila beliau meminta surat yang hanya mempunyai lambang JKR bewarna kuning. Menurut beliau, kesemua surat yang tidak mempunyai lambang kuning dianggap tidak sah; walaupun mempunyai tandtangan dan cop rasmi JKR. Ini menunjukkan tindakan pihak berkuasa yang tidak mahu melibatkan rakyat ketika mengambil keputusan-keputusan penting. Pada ketika itu juga, pegawai SB beria-ria mengambil gambar rakyat yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Selepas tidak mendapat persetujuan dari DSP Yahaya untuk 20 wakil penduduk masuk ke dalam, kami pun mengambil keputusan untuk menghantar surat bantahan ke pejabat JKR. Tetapi pegawai di Pejabat JKR enggan menerima surat kami (tidak mahu cop ‘DITERIMA’). Pada ketika kami menyoal mereka, mereka terus menghilangkan diri dengan begitu sahaja.

Penduduk yang hadir di situ sangat kesal dengan sikap pegawai JKR. Mereka mengambil keputusan untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis. Kesemua yang hadir terus berjalan kaki ke Pejabat Polis Tanah Rata (lebih kurang 100 meter).

Di pejabat polis, penduduk pun membuat laporan terhadap pegawai-pegawai JKR dan berjanji untuk meneruskan perjuangan menentang jalan sehala tersebut.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: